Dulu Marrybrown, Kini Starbucks Pula…?

Posted by A New Hope A New Inspiration at 5:07 PM

Friday, June 27, 2008

Pada 25 Jun, saya terbaca satu berita di Utusan Online yang memberitahu bahawa café-café berjenama seperti Starbucks, Kopitiam, dan juga Dunkin Donuts diberi kebenaran untuk membuka cawangan mereka di IPTA. Menurut petikan berita tersebut, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun, mengatakan bahawa café-café tersebut wajib menyediakan perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi untuk kemudahan pelajar. Dengan perkhidmatan tersebut, para pelajar, mahasiswa/i IPTA boleh menggunakan perkhidmatan tersebut untuk perbincangan ataupun melakukan tugasan mereka.


Sekilas pandang jika diambil daripada perspektif orang yang berada, yang keluarganya mempunyai pendapat serumah RM15,000 dan keatas, yang tidak perlu mengambil sebarang biasiswa untuk menampung pengajian, atau yang tidak perlu mengambil pinjaman PTPTN yang masih lagi berkonsepkan riba yang haram, perkara seperti ini adalah suatu perkara yang bagus, disamping kita dapat menikmati kopi yang berkualiti tinggi, makanan yang sedap dan bermutu tinggu, kita juga dapat menggunakan perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan di café-café tersebut untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada kita. Jika kita hanya memandang perkara daripada satu sudut sahaja, mungkin kita akan bersetuju dengan perkara ini...

Tetapi, pada pendapat saya, perlukah kita mewujudkan cawangan bagi café-café francais ini untuk beroperasi di IPTA jika hujah utama membenarkan café-café ini beroperasi adalah untuk perkhidmatan Wi-Fi kepada pelajar. Mari kita lihat daripada beberapa sudut:-

1. Harga
Saya pasti kebanyakan daripada pembaca sudah pun mengetahui bahawa harga makanan di café-café ini sangat mahal. Sebagai contoh, untuk secawan kopi di Starbucks adalah RM10.00. Itu baru sahaja secawan minuman, belum lagi makanan. Walaupun Datuk Idris Haron ada mengatakan supaya café-café ini member subsidi kepada pelajar, bagi saya ianya masih lagi mahal. Adakah dengan member subsidi, café-café ini akan mendapat keuntungan? Sedangkan kerajaan yang sedia ada tidak mampu untuk memberikan subsidi kepada rakyatnya, takkan pula café-café ini mahu memberikan subsidi kepada pelajar.

2. Perkhidmatan Wi-Fi
Antara faktor utama pihak KPT memberi kebenaran café-café francais ini dibuka di IPTA adalah kerana perkhidmatan sistem Wi-Fi yang akan disediakan oleh café-café ini. Sebab-sebabnya telah pun dinyatakan di tulisan di atas. Namun begitu, jika kita mengharapkan perkhidmatan Wi-Fi ini disediakan oleh café-café tersebut, bagaimana pula dengan perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan oleh pihak Universiti. Saya rasa semua tahu bahawa tidak semua kampus IPTA mempunyai perkhidmatan ini, tetapi adakah kita hendak mengharapkan pihak luar pula yang member perkhidmatan ini dan bukannya pihak university. Bukankah negara kita mahukan sekurang-kurangnya sebuah universiti bertaraf apex, beberapa bertaraf dunia, dan juga ada yang bertaraf penyelidikan. Oleh itu, patutkah kita membiarkan pihak luar yang menyediakan perkhidmatan ini dan bukannya pihak universiti? Jikalau pihak luar, apa pula peranan pihak universiti dalam menjaga kebajikan pelajarnya? Di samping itu, café-café lain malah gerai-gerai biasa sudah mula memberikan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma seperti di gerai Graduan (Taman Universiti) dan juga Restoran Pinggiran Bayu (Taman Pulai Utama).

3. Budaya Masyarakat Kampus IPTA
Mungkin isi ketiga ini merupakan suasana di kampus UTM Skudai. Bagi IPTA lain, saya kurang pasti. Di UTM Skudai, kebanyakan mahasiswa lebih suka membeli makanan di restoran yang menyediakan pelbagai hidangan seperti di gerai-gerai makanan dan bukannya membeli makanan yang menyediakan set-set tertentu sahaja. Lagipun makanan-makanan yang disediakan adalah berpatutan dan sesuai dengan selera rakyat Malaysia. Pernah sekali satu café yang dibuka di arked meranti, UTM, iaitu Marrybrown, terpaksa ditutup kerana tidak mendapat pelanggan sedangkan lokasinya adalah sangat strategik kerana terletak di kawasan yang ramai pelajar, tetapi kebanyakan pelajar lebih suka ke gerai-gerai biasa yang terletak di arked tersebut.

4. Kenaikan Kos Sara Hidup
Baru-baru ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kenaikan harga minyak yang mendadak iaitu sebanyak RM0.78 untuk petrol dan RM1.00 untuk diesel disebabkan kerajaan mengurangkan subsidi bagi kedua-duanya. Selain daripada itu, kesan daripada kenaikan harga minyak, harga barang-barang lain juga akan meningkat, harga perkhidmatan pengangkutan awam yang menggunakan minyak juga akan meningkat, secara kesimpulan kos sara hidup turut akan meningkat. Maka, adakah dengan membawa masuk café-café francais ini akan membantu pelajar dan pada masa yang sama akan membantu café-café tersebut?

Justeru, saya berpendapat bahawa, tidak perlu untuk café-café francais ini memasuki ke dalam kampus. Jika perkhidmatan Wi-Fi yang dijadikan tujuan supaya café-café ini beroperasi di dalam kampus, ianya adalah satu hujah yang sangat lemah. Sebaliknya, pihak kementerian dan juga IPTA-IPTA berusaha untuk mewujudkan perkhidmatan Wi-Fi di kampus masing-masing.

diambil dari:-
http://muhammad-hafiz.blogspot.com

0 comments: