Dulu Marrybrown, Kini Starbucks Pula…?

Posted by A New Hope A New Inspiration at 5:07 PM

Friday, June 27, 2008

Pada 25 Jun, saya terbaca satu berita di Utusan Online yang memberitahu bahawa café-café berjenama seperti Starbucks, Kopitiam, dan juga Dunkin Donuts diberi kebenaran untuk membuka cawangan mereka di IPTA. Menurut petikan berita tersebut, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun, mengatakan bahawa café-café tersebut wajib menyediakan perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi untuk kemudahan pelajar. Dengan perkhidmatan tersebut, para pelajar, mahasiswa/i IPTA boleh menggunakan perkhidmatan tersebut untuk perbincangan ataupun melakukan tugasan mereka.


Sekilas pandang jika diambil daripada perspektif orang yang berada, yang keluarganya mempunyai pendapat serumah RM15,000 dan keatas, yang tidak perlu mengambil sebarang biasiswa untuk menampung pengajian, atau yang tidak perlu mengambil pinjaman PTPTN yang masih lagi berkonsepkan riba yang haram, perkara seperti ini adalah suatu perkara yang bagus, disamping kita dapat menikmati kopi yang berkualiti tinggi, makanan yang sedap dan bermutu tinggu, kita juga dapat menggunakan perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan di café-café tersebut untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan kepada kita. Jika kita hanya memandang perkara daripada satu sudut sahaja, mungkin kita akan bersetuju dengan perkara ini...

Tetapi, pada pendapat saya, perlukah kita mewujudkan cawangan bagi café-café francais ini untuk beroperasi di IPTA jika hujah utama membenarkan café-café ini beroperasi adalah untuk perkhidmatan Wi-Fi kepada pelajar. Mari kita lihat daripada beberapa sudut:-

1. Harga
Saya pasti kebanyakan daripada pembaca sudah pun mengetahui bahawa harga makanan di café-café ini sangat mahal. Sebagai contoh, untuk secawan kopi di Starbucks adalah RM10.00. Itu baru sahaja secawan minuman, belum lagi makanan. Walaupun Datuk Idris Haron ada mengatakan supaya café-café ini member subsidi kepada pelajar, bagi saya ianya masih lagi mahal. Adakah dengan member subsidi, café-café ini akan mendapat keuntungan? Sedangkan kerajaan yang sedia ada tidak mampu untuk memberikan subsidi kepada rakyatnya, takkan pula café-café ini mahu memberikan subsidi kepada pelajar.

2. Perkhidmatan Wi-Fi
Antara faktor utama pihak KPT memberi kebenaran café-café francais ini dibuka di IPTA adalah kerana perkhidmatan sistem Wi-Fi yang akan disediakan oleh café-café ini. Sebab-sebabnya telah pun dinyatakan di tulisan di atas. Namun begitu, jika kita mengharapkan perkhidmatan Wi-Fi ini disediakan oleh café-café tersebut, bagaimana pula dengan perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan oleh pihak Universiti. Saya rasa semua tahu bahawa tidak semua kampus IPTA mempunyai perkhidmatan ini, tetapi adakah kita hendak mengharapkan pihak luar pula yang member perkhidmatan ini dan bukannya pihak university. Bukankah negara kita mahukan sekurang-kurangnya sebuah universiti bertaraf apex, beberapa bertaraf dunia, dan juga ada yang bertaraf penyelidikan. Oleh itu, patutkah kita membiarkan pihak luar yang menyediakan perkhidmatan ini dan bukannya pihak universiti? Jikalau pihak luar, apa pula peranan pihak universiti dalam menjaga kebajikan pelajarnya? Di samping itu, café-café lain malah gerai-gerai biasa sudah mula memberikan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma seperti di gerai Graduan (Taman Universiti) dan juga Restoran Pinggiran Bayu (Taman Pulai Utama).

3. Budaya Masyarakat Kampus IPTA
Mungkin isi ketiga ini merupakan suasana di kampus UTM Skudai. Bagi IPTA lain, saya kurang pasti. Di UTM Skudai, kebanyakan mahasiswa lebih suka membeli makanan di restoran yang menyediakan pelbagai hidangan seperti di gerai-gerai makanan dan bukannya membeli makanan yang menyediakan set-set tertentu sahaja. Lagipun makanan-makanan yang disediakan adalah berpatutan dan sesuai dengan selera rakyat Malaysia. Pernah sekali satu café yang dibuka di arked meranti, UTM, iaitu Marrybrown, terpaksa ditutup kerana tidak mendapat pelanggan sedangkan lokasinya adalah sangat strategik kerana terletak di kawasan yang ramai pelajar, tetapi kebanyakan pelajar lebih suka ke gerai-gerai biasa yang terletak di arked tersebut.

4. Kenaikan Kos Sara Hidup
Baru-baru ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kenaikan harga minyak yang mendadak iaitu sebanyak RM0.78 untuk petrol dan RM1.00 untuk diesel disebabkan kerajaan mengurangkan subsidi bagi kedua-duanya. Selain daripada itu, kesan daripada kenaikan harga minyak, harga barang-barang lain juga akan meningkat, harga perkhidmatan pengangkutan awam yang menggunakan minyak juga akan meningkat, secara kesimpulan kos sara hidup turut akan meningkat. Maka, adakah dengan membawa masuk café-café francais ini akan membantu pelajar dan pada masa yang sama akan membantu café-café tersebut?

Justeru, saya berpendapat bahawa, tidak perlu untuk café-café francais ini memasuki ke dalam kampus. Jika perkhidmatan Wi-Fi yang dijadikan tujuan supaya café-café ini beroperasi di dalam kampus, ianya adalah satu hujah yang sangat lemah. Sebaliknya, pihak kementerian dan juga IPTA-IPTA berusaha untuk mewujudkan perkhidmatan Wi-Fi di kampus masing-masing.

diambil dari:-
http://muhammad-hafiz.blogspot.com


Read more...

Selamat Datang Ke UTM, Pelajar Sesi 2008/2009

Posted by A New Hope A New Inspiration at 2:00 PM

Thursday, June 26, 2008

Assalamualaikum w.b.t,
Salam Mahasiswa…

Menjelang ketibaan Minggu Haluan Siswa sesi 2008/2009 Universiti Teknologi Malaysia, saya ingin mengucapkan selamat datang ke UTM kepada pelajar yang akan mendaftar pada sesi 2008/2009 pada tarikh 28 Jun 2008 dan 29 Jun 2009…

Teringat di saat ketika saya mendaftar pada tahun 2006. Secara tak sedar, sudah 3 tahun saya berada di UTM. Bagi pelajar daripada jurusan diploma, sudah tentu suasana di universiti tidak asing bagi mereka, tetapi bagi pelajar daripada jurusan selain daripada diploma, mereka ini ibarat kain yang boleh diwarnakan, tetapi tidak semestinya kain putih... Saya menulis sedemikian kerana, mereka telah pun diwarnakan sebelum memasuki universiti,sebagai contoh ketika mereka di sekolah rendah, menengah, ataupun matrikulasi, mereka telah dibentuk oleh keluarga mereka, rakan-rakan mereka, dan juga suasana di sekeliling mereka. Tetapi apabila seseorang itu memasuki ke alam yang baru, secara fitrahnya mereka akan mencari suatu tempat untuk mereka bergantung dan mendapat petunjuk. Andaikata dia berjumpa dengan orang yang menjual minyak wangi, maka insyaAllah dia juga akan mendapat sedikit tempias wangi orang tersebut, tetapi jika dia berjumpa dengan orang yang membuat besi ataupun senjata, maka dia pun akan terasa bahang kepanasan membuat besi ataupun senjata.

Oleh sebab demikian, pelajar-pelajar kanan (senior), perlu memainkan peranan mereka selaku orang yang mempunyai pengaruh di kalangan pelajar-pelajar baru untuk mendidik dan membimbing mereka agar berada di landasan yang betul daripada aspek jasmani, emosi, rohani, dan juga intelektual (Falsafah Pendidikan Negara). Pelajar-pelajar kanan seharusnya

Kepada pelajar-pelajar baru pula, carilah orang yang dapat membimbing anda semasa pengajian anda di kampus. Sertailah persatuan-persatuan yang dapat membina keempat-empat aspek yang ditulis di atas. Antara beberapa persatuan yang saya cadangkan adalah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM), sebuah persatuan mahasiswa Islam yang tertua di UTM. InsyaAllah, dalam persatuan ini anda dapat menyertai program-program yang dapat membina sahsiah anda dan menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam diri anda. Di samping itu, usrah yang dijalankan oleh PMIUTM dapat membimbing anda dengan lebih terperinci untuk mengenal diri, Islam, dan juga Allah S.W.T. Oleh itu, saya menggalakkan pelajar-pelajar baru, sertailah persatuan yang dapat membimbing anda, dan jikalau boleh (seelok-eloknya mesti boleh), sertailah usrah di kampus.

Moga-moga anda semua mendapat kejayaan yang cemerlang di kampus, di dunia, dan juga di akhirat. InsyaAllah…

diambil dari:-
http://muhammad-hafiz.blogspot.com


Read more...

Konvensyen Pro-Mahasiswa Nasional

Posted by A New Hope A New Inspiration at 7:52 AM

Thursday, June 19, 2008


Hari-hari berlalu terlalu pantas. Saya kira setiap hari ada sahaja yang perlu dinukilkan di atas hamparan maya ini, namun begitu masa begitu mencemburui. Disaat-saat keletihan sekerja seharian dan malamnya meneyelesaikan tanggungjawab lain, agak sukar bagi saya untuk mencurahkan idea diatas hamparan maya ini. Namun begitu diatas permintaan sahabat-sahabat, saya gagahi juga untuk mengetuk papan kekunci ini.

Hujung minggu lalu, iaitu pada 6-8 Jun telah diadakan Konvensyen Pro-Mahasiswa Nasional. Program ini dirancang bertujuan bagi memperkasakan Badan Bertindak Mahasiswa Negara. Sejak kebelakangan ini BBMN dilihat sebagai sebuah badan yang lesu dan seperti tidak menyengat. Hidup segan, mati tak mahu. Itulah perumpamaan yang mungkin sesuai untuk saya padankan. BBMN kehilangan pemimpin yang berjiwa besar untuk menerajui kepimpinan disaat-saat menghadapi kekalahan. Ruh pengasas BMMN Prof. Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Bin Yusof mungkin tidak sampai kepada generasi BBMN yang baru ini. Begitu juga energy yang ada pada Amin Idris tidak lagi diwarisi oleh pendokong BBMN dikala ini.

Bagi ahli Pro-M yang memenangi kerusi samaada diperingkat Umum ataupun Fakulti, mereka merasakan diri kerdil dan tidak yakin untuk menonjol. Seperti seekor semut merah yang kecil saiznya berhadapan dengan Sang Gajah yang begitu besar. Mereka tidak sedar bahawa semut merah ini lebih bertenaga daripada Sang Gajah yang besar tersebut. Bisa menggigit sang gajah. Sudah tentu Sang Gajah akan meronta kesakitan dek kenakalan dan gangguan daripada semut merah ini.

Pemerintah yang dianggap “Super Power” seperti Namrud sendiri pun dikalahkan oleh seekor Nyamuk. Tubuh bukan menjadi ukuran. Yang penting semangat yang membara di dalam ahli BBMN sendiri yang akan menjadikan halatujunya lebih jelas dan tersusun.

Melalui ini konvensyen ini, seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pro-Mahasiswa sebulat suara melantik Saudara Hilman B Nordin sebagai Pengerusi BBMN yang baru. Insya Allah dengan kapasiti yang ada pada beliau saya yakin dan percaya, BBMN pada kali ini mampu untuk bersuara memperjuangkan suara mahasiswa. Di bantu oleh Saudari Nur Izati sebagai timbalan pengerusi , Nor Farhana Farzieana bt Azmi sebagai setiausaha agung dan beberapa wakil yang bakal mengepalai zon masing-masing.

Konvensyen ini juga telah memberi signal awal bahawa BBMN sudah bersedia untuk memanjat pejabat PM dan menteri-menteri di Putrajaya untuk memperjuangkan isu mahasiswa.Kepada sahabat-sahabat BBMN, kalian merupakan pemimpin yang dipilih oleh sahabat-sahabat kita didalam PRK kampus. Kalian umpama YB-YB yang menerima amanah daripada rakyat. Sekiranya GAMIS menjadi himpunan kepada wakil GMI seluruh kampus untuk bersidang, maka BBMN menjadi medan untuk YB-YB dari setiap kampus untuk memperjuangkan isu kemahasiswaan.

diambil dari:-
http//:faisalkini.blogspot.com



Read more...

Peranan Kita Mahasiswa dalam Isu Semasa Negara: Satu Persoalan?

Posted by A New Hope A New Inspiration at 10:01 AM

Tuesday, June 17, 2008

Salam inspirasi pada semua....


Dalam kita menempuh cuti kita yang hanya berbaki beberapa minggu lagi ini, pelbagai isu panas dan hangat muncul di tanah air tercinta kita semua ini. Rakyat kini berdepan dengan satu krisis yang bakal tidak berkesudahan. Itu yang dapat penulis rumuskan atas apa yang berlaku dalam negara kita.


Minyak oh Minyak...


Isu yang cukup sensitif bagi sesetengah pihak namun ianya amat penting untuk diperhalusi kerana ‘emas hitam’ ini begitu penting pada sesebuah negara membangun seperti Malaysia. Walaupun telah dikurniakan oleh Allah sebagai sebuah pengeluar minyak yang berkualiti di dunia namun kita masih lagi berhadapan dengan kenaikan harga minyak yang mendadak. Disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia yang dikawal oleh Amerika Syarikat yang ketika ini menghadapi masalah kelembapan ekonomi, satu dunia menerima padah. Malaysia juga tidak terkecuali. Rakyat rata-rata masih lagi tidak dapat menerima kenyataan bahawa harga minyak di pasaran kini ialah RM 2.70! Penulis juga berpendirian sebegitu. Ianya bakal membebankan rakyat bawahan terutamanya masyarakat Melayu yang berpendapatan rendah. Apatah lagi jika kita mahasiswa di IPTA ini yang hanya mempunyai pinjaman PTPTN sahaja. Rakyat bakal terbeban dari hari ke hari mendatang......

Apa yang berlegar dalam fikiran penulis adalah kesan ekonomi dan sosial yang dibawa oleh kenaikan harga minyak ini. Kos sara hidup rakyat Malaysia bakal meningkat. Rakyat semakin dihimpit. Kemungkinan besar paras kemiskinan tegar rakyat Malaysia bakal meningkat. Apa yang lebih penting lagi ialah usaha yang dilakukan selama ini untuk mengurangkan paras kemiskinan tegar ini akan menjadi sia-sia jika ekonomi masyarakat Melayu merosot. Jadi apa gunanya Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Wawasan Negara (DWN) yang menggantikan DEB dan pelbagai dasar lagi yang dibentuk oleh kerajaan dalam mengimbangi sosio-ekonomi antara kaum di negara kita ini?

Dari sudut sosial pula, penulis melihatkan bahawa kes-kes jenayah seperti mencuri, meragut dan merompak akan meningkat disebabkan oleh kos sara hidup yang meningkat ini. Tanpa ajaran atau didikan agama yang kukuh kes jenayah ini pasti sukar untuk ditangani. Dua aspek ekonomi dan sosial inilah yang penulis bimbang akan menyusul selepas naiknya harga minyak di pasaran. Mungkin pihak yang bertanggungjawab perlu melakukan kajian untuk mengkaji kesan kenaikan harga minyak yang mendadak ini ke atas kehidupan rakyat.


Majlis Fatwa jadi tempat rujukan


Kedengaran di sini sana sedang sibuk membincangkan hukum hakam sesuatu perkara yang bakal atau telah dilakukan oleh beberapa pihak. Isu hukum caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sama ada haram atau tidak dan hukum peraduan yang dianjurkan oleh Celcom: 100 hari 100 kereta sama ada judi atau tidak, kedua-duanya kini menjadi perhatian umum. PTPTN menjadi pilihan kebanyakan mahasiswa Islam Melayu dalam usaha untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Malaysia. Walaupun isu ini sudah lama dipersoalkan kedudukan status halal atau haramnya, namun kini kita seharusnya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak PTPTN untuk merujuk kepada JAKIM dan Majlis Fatwa. Saranan agar caj perkhidmatan itu diubah atau dikaji balik disambut baik oleh golongan mahasiswa Islam terutamanya. Terima kasih diucapkan kepada pihak PTPTN kerana melegakan kerisauan sebahagian besar mahasiswa di IPT.

Begitu juga dengan isu pengiklanan oleh Celcom yang dikatakan judi oleh sesetengah pihak. Pihak Celcom sendiri bersutuju agar ianya dikaji balik. Ini meneunjukkan bahawa peranan institusi agama Islam di Malaysia masih lagi mampu menjadi rujukandalam kes-kes yang membabitkan hal ehwal Islam. Contohnya, apabila cadangan penggunaan dakwat kekal daripada India oleh Suruhanjaya Pilihan Raya baru-baru ini juga merupakan antara langkah yang bijak oleh kerajaan. Penulis melihatkan fungsi institusi agama Islam perlu diperbanyakkan bagi memberi peluang untuk rakyat beragama Islam untuk hidup dalam keadaan selesa dan tanpa ragu-ragu dalam hukum hakam.


Kedaulatan Malaysia tergadai????


‘Win win situation’ yang diperkatakan oleh bekas Menteri Hubungan Antarabangsa apabila negara kita gagal dalam pembicaraan menuntut hak yang sepatutnya menjadi milik Malaysia. Oleh kedudukan berada sekitar Johor di mana UTM di tempatkan, seharusnya isu ini menjadi perhatian kepada kita golongan mahasiswa. Apa pun yang terlepas mustahil untuk diperoleh kembali. Persoalannya di mana usaha kita selaku mahasiswa dalam isu ini? Selaku rakyat Malaysia yang mempunyai daya intelektual yang tinggi dari rakyat yang lain, mahasiswa seharusnya terkehadapan dalam isu ini. Begitu juga golongan intelektual di universiti-universiti, apa yang telah kita lakukan? Kita merupakan orang terpelajar, tapi sumbangan kita kepada negara hanya sekadar di dalam skop kerja sahaja. Masyarakat luar memerlukan pertolongan kita sebenarnya untuk mengatasi kemelut-kemelut yang melanda negara kita. Tapi kita hanya sekadar mendiamkan diri.

Kemungkinan-kemungkian kes-kes tuntutan yang lain juga bakal dihadapi oleh Malaysia pada masa akan datang. Kes Pulau Pisang dan tuntutan Sabah oleh kesultanan Sulu mungkinkah menerima nasib seperti kes Pulau Batu Putih apabila dibangkitkan? Kita sama-sama akan menyaksikan kehebatan peguam negara kita beraksi di pentas dunia jika perkara ini benar-benar terjadi.


Apa mahasiswa buat????


Apa yang perlu dipersoalkan adalah di mana kita, mahasiswa dalam isu-isu besar negara seperti ini? Kita tengah bergembira berada di kampung halaman tatkala krisis besar melanda negara kita. Banyak lagi isu yang memerlukan perhatian serius kerajaan untuk diatasi segera demi kepentingan rakyat terutamanya. Di sinilah pentingnya pemimpin yang berkebolehan dan yang menutamakan kesejahteraan rakyat berbanding perkara-perkara lain. Oleh itu, penulis menyeru danmenggesa agar mahasiswa terutamanya di UTM sendiri agar peka pada perubahan semasa negara di mana kitalah yang bakal mengisi kemerdekaan pada masa akan datang. Majulah mahasiswa untuk negara tercinta!!!


Diambil dari:-
http://www.tuan-zahidi.blogspot.com/


Read more...