Kecoh, pelajar dilarang sertai forum AUKU

Posted by A New Hope A New Inspiration at 8:58 AM

Saturday, August 30, 2008

Beberapa puluh mahasiswa dihalang daripada menyertai forum yang membincangkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.

Mereka dilarang masuk oleh pengawal keselamatan kerana tidak mematuhi kod pakaian pelajar universiti berkenaan dan tidak menggantung kad pelajar masing-masing. Forum tersebut hanya untuk pelajar UKM sahaja

Sebahagian daripada mereka yang terdiri daripada pelajar UKM, dibenarkan masuk kemudiannya selepas mereka balik menukar pakaian.

Manakala penganjur program itu - Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi - pula terpaksa membelikan tali kad untuk membolehkan pelajar terbabit menggantung kad pelajar masing-masing.

Bagaimanapun, sumber-sumber yang menyaksikan kejadian itu memberitahu Malaysiakini bahawa sebahagian lagi yang terdiri pelajar dari universiti lain, tidak dibenarkan menghadiri forum tersebut.

Sejurus kemudian, pengawal keselamatan kelihatan ‘menghalau' mereka yang tidak dibenarkan masuk itu, supaya beredar dari Dewan Anuar Mahmud -tempat forum itu berlangsung.

Malaysiakini difahamkan sebahagian mereka mewakili Gerakan Mansuhkan AUKU (GMMA)...

Ahli penal bagi forum tersebut terdiri daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron; Pengarah Strategik PKR, Saifudin Nasution, Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Abdullah Karim dan seorang pensyarah undang-undang universiti itu.

Kolar direntap

Di dalam dewan pula, mantan Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syeikh Omar Ali bangun meminta timbalan menteri berkenaan membenarkan semua pelajar masuk untuk menghadiri dan menyertai forum tersebut.

Ketika itu forum tersebut baru 10 minit bermula dan Idris sedang bercakap menerangkan mengenai pindaan terhadap AUKU. Forum itu bermula jam 9 malam.

Bagaimanapun, Syeikh Omar telah dikasari apabila bahagian kolar bajunya direntap oleh seorang pegawai keselamatan UKM.

Selepas itu, empat lagi anggota pengawal keselamatan, termasuk seorang pegawai, datang lalu menarik dan memaksa Syeikh Omar supaya duduk.

Ternyata ahli-ahli panel, termasuk Idris sendiri, kelihatan terperanjat dengan kejadian tersebut.

Manakala pengatur bicara forum tersebut meminta Syeikh Omar supaya jangan menganggu perjalanan majlis tersebut.

Dalam reaksinya pula, Idris berkata beliau tidak berbuat apa-apa kerana beliau bukan penganjur forum tersebut, dan meneruskan ucapannya.

Kemudiannya, menurut sumber-sumber itu lagi, Saifuddin dalam ucapannya berkata bahawa ketika beliau di universiti, para pelajar tidak dihalang untuk menghadiri forum seumpama itu.

Tidak puas hati

"Beliau juga menyokong supaya pelajar-pelajar terbabit dibenarkan masuk untuk menghadiri forum tersebut," kata sumber-sumber itu lagi.

Menurut sumber-sumber itu lagi, tindakan melarang pelajar universiti luar menghadiri forum tersebut, dipercayai dibuat atas arahan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Mohd Wahid Samsudin.

"Arahan tersebut diputuskan dalam mesyuarat tengah hari semalam antara TNC, pihak keselamatan, pegawai HEP walaupun dibantah oleh wakil mahasiswa," kata sumber-sumber itu lagi.

Sumber-sumber dalaman pihak penganjur dan beberapa saksi mengesahkan perkara itu.

Forum berjudul "Pindaan AUKU: Mahasiswa menuju ke era baru" tamat hampir jam 11 malam.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Syeikh Omar berkata beliau tidak puas hati kerana Idris cuba mengelak dengan berkata "perkara ini di luar bidangnya kerana beliau bukan penganjur".

"Sebagai timbalan menteri pengajian tinggi, kita tidak boleh terima jawapan itu," katanya lagi.

Syeikh Omar bagaimanapun pegawai keselamatan yang menarik kolar bajunya "bersongkok, tidak berkaca mata, gemuk dan tinggi".

Sumber : http://malaysiakini.com/bm

2 comments:

Al-Yasar said...

Salam,

Nak dengar forum tak boleh sebab mereka bukan mahasiswa UKM?

Apa yang nak disembunyikan sangat?

superbmadlin said...

hahaha...forum tue sebenar tuk org yg mendokong AUKU jerk. yg menentang xleh masuk.